|
KURSUS KEPIMPINAN DAN PENGURUSAN UNTUK PEMIMPIN-PEMIMPIN MASYARAKAT ROHINGYA DAN MYANMAR MUSLIM Future Global Network (FGN) telah berjaya menganjurkan satu lagi kursus untuk pemimpin-pemimpin masyarakat pelarian Rohingya dan Myanmar Muslim yang berlangsung pada 27 hingga 29 Jun 2008 di Kompleks Persidangan Alafanda, Anjung Rahmat, Gombak, Kuala Lumpur.
Peserta terdiri daripada 20 orang yang dipilih dari kalangan guru agama, pendakwah, pemimpin badan-badan dakwah dan kebajikan serta ketua madrasah-madrasah yang diwujudkan untuk memberi pendidikan agama kepada anak-anak masyarakat Rohingya dan Myanmar Muslim dari negeri Johor, Pulau Pinang, Trengganu, Selangor dan Wilayah Persekutuan.
Tujuan FGN menganjurkan kursus tersebut ialah untuk: • memberi pendedahan kepada mereka tentang konsep kepimpinan dan sifat-sifat mulia yang perlu dijadikan amalan pada setiap pemimpin; • memberi kefahaman tentang konsep asas pengurusan organisasi untuk membolehkan anggota kepimpinan sesebuah pertubuhan menguruskan organisasi dengan cekap dan berkesan serta berupaya menangani krisis, menyelesaikan isu dan permasaalahan yang timbul. • memperkenalkan konsep perancangan strategik sebagai satu kaedah untuk membolehkan anggota kepimpinan sesebuah organisasi menyusun misi bagi mencapai visi dan matlamat organisasi.
Selain daripada ceramah ”Kepimpinan Yang Berkesan” yang disampaikan oleh Tuan Haji Ahmad Azam bin Abdul Rahman (Pengerusi FGN) tokoh-tokoh lain yang turut menyumbang ialah Tuan Haji Haris A. Hamid (seorang Tokoh Korporat) yang menyampaikan ceramah ”Perancangan Strategik”, Tuan Haji Mahyuddin Ashaari, (Pengerusi, Yayasan Pendidikan Takmir ABIM) menyampaikan ceramah bertajuk ”Pengurusan Krisis dan Penyelesaian Masaalah” dan Sdra Ghazali Yasin (Pengarah Projek FGN) menyampaikan tajuk ”Pengurusan Organisasi”.
Program 3 hari 2 malam itu juga disulami dengan bengkel serta aktiviti-aktiviti lain bersifat jasmaniah dan rohaniah seperti kuliah subuh, qiamullail, muhasabah diri dan riadah. Melalui program seumpama ini dapat memupuk semangat kesetiakawanan dan melatih mereka untuk bekerja secara berpasukan untuk mencapai kejayaan.
|