FUTURE GLOBAL NETWORK FOUNDATION (FGN)

Alamat Perhubungan

FUTURE GLOBAL NETWORK FOUNDATION
No 72-1, Tingkat 1
Jalan Prima SG 3
PRIMA SRI GOMBAK
68100 Batu Caves, SELANGOR


Tel:    03-6187 7020
Faks:    03-6186 6020


Email: globalfgn@gmail.com

Donation

Laporan Mavi Marmara

Ahli Online

We have 2 guests online

INFAQ RAMADAN PDF Print E-mail


1 Ramadan 1429H / 1 September 2008


KEMPEN INDIVIDU 3 S
(Sumbangan SeRibu Ringgit Seorang)
untuk Pembangunan Masjid Sheikh Muhammad Nur
Kampung Sungai Chinchin, Gombak, Selangor Darul Ehsan


Menafkah harta di jalan Allah, balasannya 700 kali ganda

 

مَّثَلُ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللّهِ

 كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنبُلَةٍ مِّئَةُ

 حَبَّةٍ وَاللّهُ يُضَاعِفُ

 لِمَن يَشَاء وَاللّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

 

Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah) adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada tiap-tiap tangkai, seratus biji. Allah melipat gandakan (ganjaran) bagi siapa yang dia kehendaki.  Dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui”

(Al-Baqarah 2: 261)

Tuan/Puan

1. Alhamdulillah dengan segala puji kepada Allah Taˋala, kita telah diberi kesempatan untuk menghirup udara Ramadan yang penuh berkat dan rahmat untuk kesekian kalinya.

2. Sempena dengan bulan yang penuh rahmat ini, saya mengajak Tuan/Puan untuk turut serta di dalam menjayakan Pembangunan Masjid Sheikh Muhammad Nur di Kampung Sungai Chinchin, Batu 7¾, Jalan Gombak, Selangor.

3. Untuk makluman Tuan/Puan, Kg Sungai Chinchin seluas 14 ekar ini diterokai oleh Almarhum Sheikh Muhammad Nur sekitar tahun 1894, iaitu 114 tahun yang lalu, yang bertujuan untuk dijadikan sebuah perkampungan Islam untuk dakwah dan tarbiah di kalangan masyarakat tempatan dan di luar Selangor.

4. Berkat keilmuan dan kegigihan berdakwah, Sheikh Muhammad Nur telah menarik minat ramai pelajar untuk tinggal dan belajar di Perkampungan Islam ini yang mana makan minum dan tempat tinggal ditanggung sendiri oleh Sheikh.

5. Memandangkan usia Perkampungan Islam ini telah melebihi usia 100 tahun, dan peranan asalnya sebagai Pusat Dakwah dan Tarbiyah semakin terhakis dimakan dek zaman, telah timbul kesedaran di kalangan generasi ke tiga penduduk asal kampung ini untuk menghidupkan warisan dan melaksanakan wasiat Sheikh Muhammad Nur supaya Perkampungan Islam ini kembali dan terus menyinar dengan nur Islam ke seluruh pelusuk negara dan dunia.

6. Untuk tujuan menghidupkan warisan, melaksana wasiat, menegak syariat ini, maka sebuah Jawatankuasa Pembangunan Semula Masjid & Kampung telah ditubuh oleh Jawatankuasa Masjid Kampung Sungai Chinchin.

7. Alhamdulillah, berkat sokongan semua pihak, terutama Ketua Kampung, Haji Mohd Radzi Mohd Tahir, cucu Sheikh Muhammad Nur dan Nazir Masjid, Haji Ridwan Mohd Jamil, fasa pertama perancangan Projek Pembangunan Semula Kampung telah dapat disempurnakan dengan siapnya Model Perkampungan Islam ini berserta kos pembangunan keseluruhannya.

8. Perkampungan Islam Sheikh Muhammad Nur ini dibahagikan kepada 8 zon pembangunan yang mana akan dibangunkan secara fasa demi fasa mengikut kemampuan kewangan yang ada.

Zon 1   -    Kompleks Masjid untuk menampung 2000 orang jemaah

Zon 2   - Kompleks Tahfiz, Dakwah, Tarbiyah, 2 blok 9 tingkat untuk menampung 1000 orang pelajar serantau Alam Melayu (Malaysia, Indonesia, Thailand, Kemboja, Laos, Filipina, Brunei, Singapura, Vietnam, Burma)

Zon 3   - Kompleks Warga Emas, 2 blok 8 tingkat untuk menampung 500 orang warga emas yang ingin menghayati hadis belajar sepanjang hayat, dari buaian ke liang lahat.

Zon 4   - Wakaf Musafir, sebuah asrama penginapan berkonsepkan musafir yang mempunyai 1 blok 8 tingkat yang boleh menampung sekitar 500 orang pengunjung yang ingin menziarahi ibu dan bapa yang belajar di sini.

Zon 5  - Kompleks Kediaman Flat dan Apartmen Mampu Milik, 2 blok 15 tingkat yang boleh menampung 200 unit kediaman.  Kompleks ini akan disewa bagi tujuan mengisi dana pengurusan keseluruhan projek

Zon 6  - Kompleks Komersial yang boleh menampung 40 unit premis perniagaan dan ruang pejabat.

Zon 7  - Kompleks Serbaguna yang boleh menampung 2000 orang pada satu masa untuk tujuan majlis kenduri dan keramaian.

Zon 8   - Kompleks Sejarah dan Warisan dengan menaikkan taraf Makam Sheikh Muhammad Nur dan keluarganya, madrasah serta rumah isteri beliau agar sesuai untuk dikunjungi di samping ruang pameran sejarah kampung dan pencapaian cemerlang penduduk di pelbagai bidang.

9. Bagi memulakan projek ini secara bertahap, maka fasa pertama akan dilancarkan iaitu Zon 1, pembinaan Kompleks Masjid Sheikh Muhammad Nur bernilai RM 7 juta (masjid dan penempatan sementara penduduk)

10. Pihak Jawatankuasa akan menggunakan pelbagai kaedah untuk mengumpul dana RM 7 juta ini termasuk memohon bantuan kerajaan dan sumbangan korporat dan orang ramai.

11. Sesuai dengan keberkatan bulan Ramadan 1429H kali ini, pihak Jawatankuasa Pembangunan Semula Masjid & Kampung telah melancarkan INFAQ RAMADAN, KEMPEN INDIVIDU 3S (Sumbangan SeRibu Ringgit Seorang) untuk menampung kos pembinaan masjid tersebut.

PENDUDUK TANAH WAKAF

12. Sekiranya Tuan/Puan adalah penduduk tanah wakaf ini, atau pernah mendapat manfaat dari keberkatan ilmu Sheikh Muhammad Nur, pasti Tuan/Puan tidak mahu ketinggalan untuk turut menyumbang sebagai tanda kesyukuran dan terima kasih bahawa warisan Sheikh Muhammad Nur ini akan diteruskan dengan konsep dakwah dan tarbiah yang sesuai dengan perkembangan zaman.

PENDUDUK BERHAMPIRAN

13. Sekiranya Tuan/Puan tinggal berhampiran dengan tanah wakaf ini, pasti Tuan/Puan juga tidak mahu ketinggalan untuk turut menyumbang kerana Tuan/Puan akan mendapat manfaat secara langsung dengan pembangunan semula kampung ini yang berkonsepkan Perkampungan Islam Moden.

MASYARAKAT AWAM YANG PRIHATIN DENGAN DAKWAH

14. Sekiranya pula Tuan/Puan berminat dengan usaha murni untuk mengembangkan Islam dengan konsep Perkampungan Islam yang bersepadu bagi rantau Alam Melayu ini, saya yakin Tuan/Puan tidak mahu ketinggalan untuk turut serta menyumbang ke arah kejayaan cita-cita murni ini.

15. Bayangkan sekiranya terdapat;

Kempen Individu 3S
1500 orang menderma RM 1,000.00     = RM 1,500,000.00
         +
Kempen Korporat 3S     
200 syarikat menderma RM 10,000.00  = RM 2,000,000.00
         +
Sumbangan Kerajaan
atas dasar 1:1                                    = RM 3,500,000.00

                                                            RM 7,000,000.00

16. Ayuh, Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya kasihi, mari kita beriman dengan sesungguhnya dengan ayat Allah Taˋala ini;

“Sesungguhnya Allah telah membeli diri dan harta orang-orang yang beriman dengan memberikan syurga untuk mereka”
(Al-Baraˋah 9:111)

 


Wassalam.
Al Faqir il Allah


AHMAD AZAM ABDUL RAHMAN
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Masjid Sungai Chinchin