|
LAPORAN TENTANG MISI SURUHANJAYA SOSIAL, KEMANUSIAAN DAN PERPADUAN, UNION OF NGOs OF THE ISLAMIC WORLD (UNIW) KE VIETNAM DAN KEMBOJA
di hadapan National Museum di Chi Minh City
Tuan Haji Ahmad Azam Abdul Rahman, selaku Pengerusi Suruhanjaya Sosial, Kemanusiaan dan Perpaduan, Union of NGOs of the Islamic World (UNIW) telah mengetuai misi lawatan ke Vietnam dan Kemboja pada 25 hingga 29 April 2009. Turut serta menghantar wakil dalam misi tersebut ialah 6 buah NGO - ahli UNIW dari Malaysia - iaitu FGN, ABIM, WADAH, GPM, PKPIM dan YAYASAN TAKMIR PENDIDIKAN. PERKIM, INSTITUT ISLAM HADHARI dan HAYRAT FOUNDATION TURKEY (di Malaysia) juga turut menghantar wakil dalam misi tersebut. Objektif utama misi tersebut ialah untuk:- (a) bertaaruf dan menjalinkan hubungan silaturrahim dengan pemimpin-pemimpin masyarakat Islam di Vietnam dan Kemboja;
(b) menghulurkan bantuan kemanusiaan (wang dan beras) kepada golongan masyarakat Islam yang miskin tegar;
(c) memperkenalkan UNIW kepada pemimpin Islam peringkat nasional dan setempat;
(d) mengenalpasti NGO-NGO di kedua buah negara untuk dipelawa menjadi ahli UNIW.
Berikut ialah laporan yang menggambarkan program lawatan sepanjang lima hari empat malam ke dua buah negara (Vietnam dan Kemboja). Lawatan ke Ho Chi Minh City, VIETNAM (25 – 27 April 2009)Ini adalah lawatan pertama anjuran UNIW ke negara Vietnam (melalui pintu masuk Ho Chi Minh City) bertujuan untuk meninjau dari dekat kedudukan masyarakat Islam di Vietnam. Kami tidak mempunyai hubungan di sana maka pendekatan yang sesuai ialah membuat lawatan ke masjid yang ada dan berbicara secara umum dengan masyarakat Islam tempatan yang bersolat di sana. Selain daripada itu, kami juga mengambil peluang berbicara dengan pengendali-pengendali restoran halal yang terdapat di sekitar kota Ho Chi Minh. Sewaktu hendak bertolak ke Phnom Penh melalui jalan darat dengan bas kami sempat bertemu dengan seorang guru agama bernama Haji Abdul Rahman Ibrahim. Beliau mengajar di Madrasah An Nur, Daerah 8, Kota Ho Chi Minh. Beliau juga merupakan ahli Jawatankuasa Kebudayaan dan Pendidikan dalam sebuah badan sukarela masyarakat Islam kota Ho Chi Minh yang dikenali sebagai ‘Mach Dares Samael Committee’.  Dari perbualan dengan tokoh dan masyarakat Islam yang ditemui mereka menyatakan bahawa setakat ini tiada gangguan dari pihak pemerintah untuk pembangunan dalam bidang kebudayaan dan pendidikan Islam di Vietnam. Malah, setiap wilayah dilantik seorang wakil Islam yang diiktiraf oleh kerajaan. Sekolah-sekolah agama yang diiktiraf juga menerima sedikit bantuan untuk penggajian guru setiap tahun – namun sumbangan adalah secara ala-kadar. Untuk memastikan madrasah dan sekolah-sekolah agama dapat bertahan maka pemimpin-pemimpin masyarakat Islam terpaksa berusaha mendapatkan sumbangan daripada masyarakat Islam negara jiran (termasuk dari Malaysia). Malah, murid-murid yang berjaya menamatkan pengajian asas di sekolah-sekolah agama tempatan dihantar menyambung pengajian di beberapa sekolah pondok yang terdapat di negeri Kedah dan Terengganu.  Sebagai tanda persaudaraan dan penyambung silaturrahim sumbangan dana disampaikan oleh pemimpin-pemimpin yang menyertai misi UNIW kepada Madrasah An Nur (yang mempunyai 85 orang murid dari seluruh Vietnam) melalui Ustaz Haji Abdul Rahman Ibrahim, dan sumbangan untuk Masjid Nusulmane di kota Ho Chi Minh yang disampaikan melalui Bilal masjid tersebut. Lawatan ke Kemboja (27 – 29 Mei 2009)Ini merupakan misi kedua ke Kemboja yang dipimpin oleh Tuan Haji Ahmad Azam Abdul Rahman, selaku Pengerusi, Suruhanjaya Sosial, Kemanusiaan dan Perpaduan UNIW. Misi pertama ialah pada bulan Jun 2008. Selama tiga hari di Kemboja, anggota rombongan sempat menyertai program berikut:- (a) Perjumpaan dengan Pemimpin-Pemimpin ‘Cambodian Muslim Development Foundation’ – 27 April 2009, 7.00 – 9.30 malam
Ahli rombongan telah diraikan dalam satu majlis yang dipimpin oleh YB Encik Othsman Hassan, ‘Secretary of State, Advisor and Special Envoy to Prime Minister Samdech Hun Sen’. Majlis yang berlangsung hampir dua jam itu turut dihadiri oleh sebahagian besar pembesar-pembesar kerajaan yang bertaraf Timbalan Menteri dan Pembantu Menteri yang mewakili masyarakat Islam Kemboja. Mereka mengucapkan setinggi penghargaan kepada pelawat-pelawat dari Malaysia yang bersedia datang untuk meninjau keadaan dan menghulurkan bantuan kepada masyarakat Islam di Kemboja. Tuan Haji Ahmad Azam memperkenalkan tokoh-tokoh yang mewakili beberapa NGO yang turut serta dalam misi tersebut. Dengan kehadiran pemimpin-pemimpin NGO dari Malaysia ini maka dapatlah mereka menilai bentuk-bentuk sumbangan yang harus disalurkan untuk dimanfaatkan oleh masyarakat Islam Champa yang jauh ketinggalan dari arus pembangunan. (b) Lawatan ke ‘Dubai Islamic School’ Rombongan telah dibawa melawat Dubai Islamic School yang diasaskan pada tahun 1992 oleh seorang dermawan dari Dubai. Sekolah tersebut terpaksa ditutup 7 tahun kemudian oleh kerana pengelola sekolah tersebut terputus hubungan dengan dermawan berkenaan yang meninggal dunia. Ianya dibuka semula dengan pencarian dana yang diikhtiarkan oleh sebuah pertubuhan yang dikenali sebagai ‘Cambodian Muslim Intellectual Alliance’ dan seorang aktivis yang bernama Ustaz Daud yang kini bertindak sebagai Guru Besar. Sekolah tersebut dikendalikan dalam 2 sesi (pagi dan petang), menampung 6 buah kelas, seramai 405 orang murid dan mempunyai guru seramai 10 orang. Gaji bagi 3 daripada 10 orang guru dibiayai oleh CIMA (yang mendapat bantuan daripada Global Peace Mission, Malaysia) dan lapan lagi ditanggung melalui pembayaran yuran dari keluarga yang mampu.  Pihak sekolah amat memerlukan bantuan untuk membaikpulih bangunan, sumbangan kitab, al-Quran, muqaddam, buku teks, pakaian seragam dan makanan tambahan untuk murid-murid, penambahan gaji untuk guru, dan bantuan pakar bagi pengubalan kurikulum. Sumbangan bolehlah disalurkan melalui Tuan Haji Ahmad Azam Abdul Rahman, Pengerusi, Future Global Network Foundation (FGN) (Tel: 03-61877020). Harapan Guru Besar – Ustaz Mohd. Daud – ialah untuk menjadikan ‘Dubai Islamic School’ ini sebagai pusat tarbiyah yang terbesar di Kemboja. (c) Lawatan ke Kampung Cheloi (Wilayah Kompong. Chenang) – 28 April 2009  Ahli rombongan dibawa melawat ke sebuah penempatan Melayu Champa di Kampong Cheloi (Wilayah Kampong Chenang) – 80 kilometer dari Phnom Penh disambut dengan paluan kompang dan dihidangkan dengan air kelapa. Hampir 600 anggota masyarakat yang terdiri daripada 260 keluarga keluar beramai-ramai menyambut kedatangan kami. Wilayah Kampong Chenang merupakan penempatan masyarakat Champa-Melayu-Islam yang kedua terbesar di Kemboja. Mereka masih mengamalkan adat resam dan tradisi budaya lama mereka. Kehidupan mereka terlalu dhaif – tidak mempunyai bekalan api dan air, terlalu jauh tercicir dari arus pembangunan. Matapencarian mereka hanya tertumpu kepada hasil tangkapan ikan dan pertanian (termasuk menanam padi yang hanya boleh dilakukan setahun sekali pada musim hujan). Sungguhpun terdapat 47 buah masjid di wilayah Kampong Chenang, namun masyarakat tidak dapat mengamalkan ibadah dengan teratur disebabkan kekurangan guru agama. Masih ramai yang tidak sempurna dari segi mendirikan solat lima waktu. Yang paling menyedihkan ialah anak-anak mereka tidak bersekolah oleh kerana sekolah terlalu jauh dari tempat mereka.  Sebagai tanda simpati sumbangan beras sebanyak 6 tan (sumbangan dari NGO-NGO dan individu tertentu yang menyertai rombongan) telah dapat disampaikan kepada keluarga masyarakat.
 Antara yang turut hadir di majlis tersebut ialah Tuan Haji Abdullah bin Mohd. Salleh, Timbalan Ketua Daerah (setaraf dengan Datuk Penghulu) Kampong Tralat dari Wilayah Kampong Chenang – yang berterima kasih atas sumbangan amal jariah kepada masyarakat di situ dan berharap pemimpin-pemimpin NGO yang menyertai rombongan tersebut dapat menyumbang pembinaan sebuah sekolah agama (termasuk menyediakan guru agama) untuk anak-anak mereka dan juga mendirikan sebuah kilang yang bersesuaian di wilayah tersebut sebagai asas untuk mereka keluar dari kepompong kemiskinan. (d) Pertemuan dengan ‘Minister of Cult and Religion, Royal Government of Cambodia’ – 28 April 2009
Satu pertemuan diatur dengan (YB Menteri) Min Khin pada sebelah petang.  Menteri mengalu-alukan kunjungan kami dan berterima kasih atas sumbangan 1 tan beras untuk masyarakat miskin Kemboja. Beliau menjelaskan kedudukan Islam dan masyarakat Islam di Kemboja dan mengalu-alukan bantuan daripada masyarakat luar untuk membantu membangunkan masyarakat Islam yang merupakan 3% daripada penduduk Kemboja. Antara yang dinyatakan dalam ucapan beliau ialah masyarakat Islam sama ada di peringkat wilayah mahu pun di daerah bekerjasama dengan kerajaan, kerajaan menyediakan tempat khas untuk membangunkan masjid, kerajaan menyediakan ruang untuk program Islam di radio dan tv, kerajaan juga membenarkan pelajar memakai pakaian traditional di sekolah, membenarkan mengerjakan ibadah Haji dan membenarkan pelajar Islam melanjutkan pengajian ke luar negara.  Tuan Haji Ahmad Azam selaku ketua misi, dalam ucapan balas beliau, menghormati peranan dan pengiktirafan ke atas masyarakat Islam di Kemboja oleh kerajaan yang majoritinya penganut agama Buddha. Sebagai contoh, ramai pemimpin Islam diberi kedudukan tinggi dalam kerajaan sama ada menjawat jawatan Menteri, Timbalan Menteri dan Pembantu kepada Menteri. Beliau nampak bahawa ada persamaan antara dua negara (Kemboja dan Malaysia) dalam amalan perkongsian kuasa pemerintahan dalam sebuah negara yang terdiri daripada masyarakat majmuk. Beliau percaya dengan sikap keterbukaan dan tolerensi beragama yang ditunjukkan oleh Kerajaan Kemboja, ia akan memberi kebaikan untuk membangun dan menjaga keharmonian negara – ini terbukti dengan adanya tempat solat di lapangan terbang serta terdapat banyak restoran yang menjual makanan halal yang boleh menarik lebih ramai pelancong Islam untuk datang ke Phnom Penh. (e) Menghadiri Seminar anjuran CMIA & UNIW
Cambodian Muslims Intellectual Alliance (CMIA) di bawah pimpinan Ustaz Farid Hossein telah berjaya menganjurkan seminar bagi memperkenalkan anggota misi dan menerangkan peranan UNIW kepada pemimpin-pemimpin kerajaan dari kalangan masyarakat Islam dan aktivis-aktivis NGO Islam di Kemboja.  Beliau berjaya membawa tokoh-tokoh tertinggi masyarakat Islam dalam kerajaan untuk menyertai seminar yang diadakan pada sebelah malam. Antara yang hadir termasuk YB Ahmad Hassan, ‘Secretary of State, Ministry of Social Affairs, War Veterans & Youth Rehabilitation of Cambodia’, YB Dr. Sos Mousine, Secretary of State in Charge of Islamic Affairs, Mufti Negara Kemboja – Haji Kamaruddin Yusof, beberapa Pembantu Menteri, Senator, Ahli Parlimen dan pemimpin-pemimpin NGO di Kemboja. Peluang tersebut telah dimanfaatkan oleh Tuan Haji Ahmad Azam untuk menerangkan rasional penubuhan UNIW bagi menyatukan ummah dengan cuba membawa seberapa banyak NGO Islam yang ada di seluruh dunia untuk bergabung di bawah satu payung - ‘UNIW’. Semua NGO yang bersifat samada kebajikan, pendidikan, advokasi, bantuan kemanusiaan dan sebagainya, yang berdaftar secara formal dalam sesebuah negara adalah layak memohon untuk menyertai UNIW.  Beliau juga berharap dengan menganggotai UNIW pemimpin-pemimpin NGO di Kemboja akan berpeluang bertemu dengan ramai tokoh NGO lain di luar negara yang berhimpun di Istanbul, Turkey pada bulan Mei setiap tahun. Peluang itu boleh digunakan untuk membawa mereka membantu dalam membangunkan kerja-kerja dakwah, pendidikan, halehwal wanita, belia, kemiskinan dan sebagainya di Kemboja. Haji Ahmad Azam juga berharap Kemboja dapat menjadi tuan rumah bagi penganjuran persidangan UNIW pada masa akan datang. Persidangan seumpama itu akan berpeluang membawa tokoh-tokoh besar dari UNIW untuk memahami isu dan permasaalahan umat Islam di Kemboja. Pada masa yang sama, Tuan Haji Kamaruddin Yusof, Mufti Kemboja dan YB Ahmad Yahya menerangkan tentang kemajuan yang telah dicapai serta meminta para peserta seminar memahami pelbagai isu dan permasaalahan yang masih menghambat ummat kemajuan Islam di Kemboja. Mereka menyeru supaya semua pihak dapat bekerjasama, bersepakat, demi masa depan ummat Islam di Kemboja.
|