|
FGN telah berjaya menganjurkan ‘Kursus Perancangan Kerjaya dan Kemahiran Hidup untuk Belia Masyarakat Rohingya’ pada 27 hingga 29 Mac 2009 bertempat di Bilik Seminar, Blok Persidangan Alafanda, Anjung Rahmat, Gombak. Seramai 25 orang peserta di kalangan belia Rohingya di sekitar Wilayah Persekutuan dan Selangor dipilih untuk mengikuti kursus tersebut. Y. Bhg Sahibus Samahah Dato’ Haji Mohd. Zahidi bin Wan Teh, Mufti Wilayah Persekutuan telah menyempurnakan Majlis Perasmian pada 28 Mac 2009. Manakala Ybhg Dato’ Haji Mustafa Abdul Rahman, Pengerusi PPZ Wilayah Persekutuan merangkap Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Taqwa-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan menyempurnakan Majlis Penutup pada 29 Mac 2009.
Kursus ini adalah sebahagian daripada program dakwah untuk menanamkan semangat keimanan dan ketaqwaan kepada belia Rohingya yang berumur antara 16 hingga 25 tahun. Dalam kursus ini mereka diajak untuk menginsafi kedhaifan bangsa Rohingya hari ini dan memikirkan jalan yang penuh dengan cabaran yang mereka akan tempuhi. Untuk ‘survival’ mereka perlu tahu meletak sasaran matlamat, mempunyai ilmu dan kemahiran untuk menguruskan masa dengan cekap, memiliki kemahiran sosial, pengurusan kewangan yang baik dan berkeupayaan untuk menguruskan krisis.
Kursus selama 3 hari 2 malam ini akan dikendalikan oleh Tuan Haji Ahmad Azam Abdul Rahman selaku Master Trainer dan akan dibantu oleh beberapa orang fasilitator. Antara tajuk yang telah dibincangkan adalah seperti berikut:- 1) Senario Masyarakat Rohingya dan Umat Islam – Satu Analisis 2) Analisis Kendiri & Pembentukan Jatidiri 3) Pembangunan Masa Depan dan Kemahiran Hidup 4) Pembinaan Generasi Salahuddin Al-Ayubi 5) Membina Kekuatan Belia Untuk Memperkasakan Bangsa Rohingya Selain daripada ceramah, para peserta telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk mengupas beberapa isu yang melibatkan perancangan kerjaya dan mengenalpasti ruang dan peluang bagi memilih kemahiran yang sesuai mereka ceburi untuk pembangunan masa depan dan keluarga. Sesi pembentangan akan diadakan selepas setiap perbincangan kumpulan.
|