|
Future Global Network Foundation (FGN) telah diundang mengendalikan Kursus Asas Keusahawanan anjuran Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) bersama Blue-T Communications Sdn. Bhd. yang diadakan dari 19 hingga 23 Disember 2008 di Air Tenang Resort, Janda Baik, Pahang Darul Makmur. Kursus tersebut telah diikuti oleh 47 orang peserta yang terdiri daripada para graduan yang telah berjaya mengikuti program peringkat diploma dalam bidang Pengurusan Makanan Hotel dari Kolej Komuniti Selayang dan program diploma dalam bidang Teknologi Maklumat daripada Kolej Komuniti Sabak Bernam, Selangor.
Tuan Haji Ahmad Azam bin Abdul Rahman, Pengerusi FGN, yang memiliki ijazah MBA daripada sebuah universiti di Texas, Amerika Syarikat dilantik sebagai Master Trainer. Dalam program tersebut beliau telah melatih para peserta tentang kaedah-kaedah yang membolehkan mereka menganalisis diri sendiri dengan keupayaan mengenalpasti tentang kekuatan dan kelemahan, disamping memberikan tips tentang cara-cara mencari ruang dan peluang perniagaan serta cabaran yang terpaksa mereka tempuhi sebelum memasuki alam kerjaya atau menceburi dalam bidang keusahawanan. Para peserta juga diingatkan supaya mengukuhkan aspek spiritual untuk memastikan apa jua usaha yang dijalankan akan mendapat keredaan dan keberkatan daripada Allah s.w.t.
Manakala Tuan Haji Othman Mohammed (pengasas dan pemilik Blue-T Communications Sdn. Bhd) dan pasukan beliau telah menceritakan sendiri kisah-kisah pahit manis pengalaman beliau sebagai seorang usahawan. Sungguhpun balik dengan segulung ijazah dari luar negara pada tahun 1986 beliau sukar mendapat pekerjaan dan terpaksa memulakan perniagaan fotostat secara kecil-kecilan. Dengan semangat juang yang tinggi dan kerja bersungguh-sungguh beliau dengan bantuan isteri beliau dapat membina Blue-T Communications Sdn. Bhd. sebagai sebuah syarikat pencetakan yang berjaya dengan menawarkan 30 pekerjaaan kepada anak bangsa.
Cik Wan Azizah binti Yusof dan Sdra Ghazali Yasin daripada FGN beserta sdr Zaki, Shahrul, Fahmi dan Harith daripada Blue T bertindak sebagai fasilitator - membantu melaksanakan program 5 hari 4 malam itu dengan jayanya.
|